PRU 12.. (ii)
Semangat pengundi celik
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)
SYARAT jelas yang disampaikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum
Ke-12 kali ini sememangnya memerlukan satu bedah siasat yang terperinci
daripada parti Barisan Nasional (BN).
Meskipun beberapa sentimen penolakan rakyat terutamanya di beberapa
negeri sudah dapat dibaca oleh pemimpin di kalangan BN sendiri, namun
untuk tumbang dengan kekalahan seperti yang berlaku adalah sesuatu yang
di luar jangkaan dan mengejutkan.
Melihat perubahan dalam corak sokongan rakyat kali ini, beberapa
penganalisis politik tempatan merumuskan, faktor ‘muda’ dan ‘wajah
baru’ turut meningkatkan graf penolakan rakyat di sebalik beberapa isu
utama lain terutamanya isu sosial.
Menurut mereka, meskipun golongan muda hanya kira-kira 40 peratus
daripada jumlah keseluruhan pengundi, namun dengan membayangkan
gelombang jiwa dan semangat baru golongan ini yang mengharapkan satu
bentuk perubahan, ia sudah memadai untuk menafikan majoriti besar buat
BN.
Faktor calon muda dengan aspirasi perubahan yang tinggi turut
memberi kelebihan kepada parti pembangkang terutamanya Parti Keadilan
Rakyat (PKR) apabila ia dilihat menjadi penentu utama kepada sokongan
rakyat.
Malangnya, BN walaupun turut membariskan ramai calon muda sama ada
daripada sayap parti seperti Pemuda dan Puteri UMNO, bagaimanapun tidak
berupaya menangkis pelbagai isu semasa yang menuntut penjelasan
daripada rakyat keseluruhannya.
Bagi Pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Islam
Antarabangsa (UIA), Prof. Dr. Fatimah Daud, latar belakang pendidikan
yang tinggi termasuk ramai yang merupakan lulusan universiti luar
negara merubah corak undian di kalangan pengundi muda.
Katanya, pengundi cerdik pandai dan terpelajar ini tidak lagi
menerima dengan mudah segala apa yang berlaku di sekeliling mereka
sebaliknya semakin bijak dalam membuat penilaian.
‘‘Ini bukan lagi zaman di mana pengundi sangat taksub kepada
satu-satu parti sebaliknya rakyat terutamanya pengundi muda semakin
berfikiran terbuka dan kritis dalam menetapkan pendirian mereka,”
katanya.
Tambah Fatimah, pengundi muda yang kebanyakannya menetap di
bandar-bandar besar turut mempengaruhi pola undian di kawasan itu
sehingga berjaya mendorong kepada peningkatan sokongan kepada parti
pembangkang.
Penduduk di bandar katanya, lebih berpandangan luas dalam membuat
penilaian serta berkuasa menentukan pilihan sendiri dalam pentadbiran
dan ia dibuktikan di Pulau Pinang, Selangor dan Perak yang kini ditawan
pembangkang.
Sementara itu, Presiden Akademi Pembangunan Intelektual Moden
(Minda) Datuk Mohd. Nor Ali pula berkata, pengundi muda dalam pilihan
raya kali ini benar-benar menterjemah kuasa undi mereka sehingga
menjadi faktor utama kepada perubahan besar di kebanyakan kerusi yang
dipertandingkan.
Jelas beliau, golongan itu kini memperlihatkan kematangan yang
tinggi dan tidak lagi boleh ditakut-takutkan dengan isu dan masalah
yang remeh sebaliknya bangkit mempersoalkan dan menunjukkan penentangan
mereka.
‘‘Kehidupan dalam dunia yang moden hari ini juga memberikan
kelebihan kepada keterbukaan pemikiran dan penilaian orang muda yang
bersuara dan mendapatkan maklumat menerusi media alternatif seperti
Internet dan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS),” ujarnya.
Mohd. Nor menambah, pengundi muda kini juga tidak lagi memberikan
sokongan berdasarkan parti semata-mata sebaliknya memperluaskan
penilaian dan ukuran mereka kepada wibawa calon yang bertanding.
Golongan itu juga katanya, semakin bersifat selektif dalam penilaian
calon wakil rakyat mereka termasuk memilih individu yang bersih, mudah
dipercayai dan dilihat berkeupayaan menyampaikan kehendak dan suara
mereka.
Turut mengakui kuasa pengundi muda melonjakkan perubahan sokongan
dalam pilihan raya kali ini, pensyarah di Pusat Pengajian Sains
Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan
Pandian berkata, trend itu sangat ketara di bandar-bandar besar.
Namun apa yang memeranjatkannya, pola undian tersebut turut merebak di kalangan pengundi di luar bandar terutamanya di Kedah.
‘‘Ini menimbulkan persoalan adakah pengundi konvensional dan tradisi
di luar bandar sudah berubah hati kerana jika diperhatikan pengundi
yang berpaling sokongan misalnya di Kedah melangkaui sehingga 60
peratus.
Ia juga sebenarnya merupakan ketidakseimbangan dalam amalan mengundi
sebelum ini yang mana rakyat selalunya lebih memihak kepada parti,”
katanya.
Anjakan paradigma pengundi muda itu juga tambah Sivamurugan, banyak
dipengaruhi oleh perkembangan teknologi moden hari ini terutamanya
Internet dan SMS selain penglibatan golongan terpelajar dalam arena
politik tempatan.
Ketika ditanya adakah trend pengundian ini akan menjadi amalan dalam
pilihan raya akan datang, beliau bagaimanapun menjangkakan ia tidak
akan berkekalan kerana sentimen undian ketika ini lebih kepada luahan
rasa dan protes rakyat kepada BN.
Bentuk sokongan sebegitu jelasnya, boleh berubah pada pilihan raya
akan datang sekiranya BN berjaya menilai dan mencari penyelesaian
terhadap faktor penolakan rakyat seterusnya mengembalikan semula
sokongan kepada parti berkenaan.
‘‘Apa yang saya perhatikan daripada corak sokongan rakyat ini
sebenarnya bukanlah kerana rakyat merasakan parti pembangkang kuat,
sebaliknya kerana mereka merasakan parti BN lemah.
Gambaran itu sangat ketara di kalangan parti komponen BN yang ditolak sepenuhnya dalam pilihan raya kali ini,” jelasnya.
-ehsan utusan malaysia,isnin,10 march 2008-
April 30th, 2008 at 12:56 pm
haa.mama aku ckp,
pilih calon..bkn parti! hee.