Pecah tradisi dua pertiga
Oleh NORAINI ABD. RAZAK (WARTAWAN UTUSAN)
PERTAMA kali dalam sejarah sejak tahun 1959, parti induk – ketika
itu Perikatan dan kini Barisan Nasional (BN) – hilang majoriti dua
pertiga dalam pilihan raya umum.
Semestinya keputusan di luar jangkaan Pilihan Raya Umum Ke-12
kelmarin membawa cerita, maksud, nilai dan pengajaran tersendiri yang
tidak boleh disimpulkan secara sepintas lalu.
Ini kerana kehilangan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen bukannya
berlaku secara tidak sengaja, jauh sekali dianggap sebagai eksperimen
rakyat untuk menguji setiap undi mereka.
Jika rakyat ingin bereksperimen, pilihan raya 2008 dilihat bukan
masanya – mungkin tahun 1999 adalah masa yang terbaik untuk berbuat
demikian lantaran ada isu untuk dijadikan bahan kajian.
Manakala bagi tempoh selepas pilihan raya 2004 hingga tahun ini –
iaitu selepas BN mencatat kemenangan besar, perkembangan semasa dilihat
umpama air tenang yang membolehkan segala agenda pembangunan untuk
rakyat dilaksanakan secara berkesan.
Dan menjelang pilihan raya hangat diperkatakan, banyak pihak
seolah-olah bersetuju bahawa ‘tiada isu’, ‘tiada isu’ dan ‘tiada isu’
kecuali kenaikan harga barang yang mungkin boleh menyimpangkan sedikit
undi rakyat kepada pembangkang.
Pendek kata, tiada isu lain yang boleh menggugat pendirian pengundi
– justeru keyakinan BN amat terserlah untuk memperoleh majoriti dua
pertiga sebagaimana rekod 11 pilihan raya yang telah dilangsungkan.
Namun bak kata pepatah air tenang jangan disangka tiada buaya, di
sebalik dikatakan hanya satu isu (kenaikan harga barang) – suara rakyat
memilih sebaliknya.
Ini kerana hakikatnya, isu-isu seperti Hindraf, suruhanjaya video
klip hakim, pemilihan calon tanpa mengambil kira sentimen rakyat
setempat, memberi kesan kepada jiwa pengundi dan secara senyap mereka
memprotes sehingga membentuk majoriti senyap yang amat besar jumlahnya.
Malah, kempen-kempen yang agak perlahan terutama di Selangor dan
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sehingga ada calon masih tidak
dikenali menjelang hari pengundian memberi isyarat awal tentang
prestasi BN kali ini.
Pencapaian 2008 disimpulkan sebagai yang terburuk bagi BN dalam
sejarah pilihan raya Malaysia dengan empat negeri iaitu Pulau Pinang,
Kedah, Selangor dan Perak jatuh ke tangan pembangkang, manakala Pas
mengekalkan status quo di Kelantan.
Rekod Pas di negeri Serambi Mekah itu amat cemerlang berbanding
pencapaian pada 2004, manakala prestasi BN di empat negeri lain begitu
memeranjatkan terutamanya jika dianalisis peningkatan majoriti undi
yang diperoleh calon-calon pembangkang.
Semasa pilihan raya umum pertama, Perikatan menang 74 daripada 104
kerusi Parlimen; dan 207 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang
dipertandingkan.
Tradisi penguasaan majoriti dua pertiga itu diteruskan dalam 10 lagi
pilihan raya selepas itu biarpun pada tahun 1969, 1974 dan 1999,
pilihan raya berlangsung dalam suasana yang tidak begitu memihak kepada
parti induk.
Tragedi 13 Mei yang menyaksikan rusuhan kaum tercetus sehingga
mengakibatkan pertumpahan darah, dilihat ketika itu bakal mengurangkan
sokongan kaum Cina kepada parti Perikatan.
Ia dikatakan bakal menjejaskan perolehan majoriti dua pertiga
Perikatan namun keputusan yang diperoleh ternyata tidak sedemikian.
Perikatan masih mampu memperoleh majoriti dua pertiga, diikuti
dengan pilihan raya- pilihan raya selepas itu termasuk pada tahun 1999
di mana ketika itu rakyat Malaysia dibelenggu oleh isu pemecatan Datuk
Seri Anwar Ibrahim.
Ternyata simpati serta sokongan terhadap bekas Timbalan Perdana
Menteri yang menubuhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih juga gagal
menidakkan keupayaan BN untuk meraih majoriti dua pertiga.
Malah isu Anwar dengan suruhanjaya mata lebamnya tidak menjejaskan
kemaraan BN pada pilihan raya ke-11, malah BN mencatatkan kemenangan
besar dan hampir-hampir merampas Kelantan daripada Pas.
Ternyata gelombang pilihan raya ke-11 itu seolah-olah meletakkan BN
dalam keadaan yang amat selesa dan yakin ketika membuat perkiraan untuk
mengadakan pilihan raya ke-12 sebelum mandat lima tahun berakhir pada
Mac tahun depan.
Pembubaran Parlimen pada 13 Februari lalu dengan tempoh kempen
hampir dua minggu berjalan tanpa ragu-ragu biarpun ada sedikit gangguan
dalam senarai calon.
Tersasar
Walaupun ada kesangsian bahawa ini bukan masa yang terbaik untuk
menyerahkan kuasa kepada rakyat membuat pilihan, namun kerajaan
mempunyai sandaran lain untuk membuat keputusan seumpama itu.
Dan natijahnya – tanpa dijangka, pengundi memberi isyarat yang
ternyata tersasar jauh daripada harapan serta impian asal BN untuk
mengekalkan tradisi majoriti dua pertiga.
Semestinya, pembangkang juga tidak menjangkakan keputusan
secemerlang itu – bukan sahaja berkuasa di lima negeri malah menambah
kerusi di Johor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur.
Keputusan yang amat mengejutkan itu ternyata mendorong semua pihak
untuk membuat analisis, mencari jawapan sebenar di sebalik undi rakyat
yang kini dimasukkan dalam peti lut sinar.
Paling menarik ialah untuk mengikuti sidang Dewan Rakyat kelak.
Setiap usul, mahupun rang undang-undang memerlukan undi majoriti dua
pertiga sebelum dapat diluluskan. Dengan 82 pembangkang kini yang
terdiri daripada 23 wakil rakyat Pas, DAP (28) dan Parti Keadilan
Rakyat (31) – proses meluluskan usul dan rang undang- undang tidak
semudah dulu.
Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan, Dr. Sham Rahayu Abd. Aziz
mengakui, keputusan pilihan raya kali ini amat menarik untuk dianalisis
terutama dari segi jumlah wakil parti pembangkang di Dewan Rakyat.
“Berbanding 2004, pembangkang hanya mempunyai 19 wakil di Dewan
Rakyat dan seorang wakil bebas. Oleh itu tidak sukar untuk memperoleh
majoriti dua pertiga setiap kali ada usul atau rang undang-undang
dibentangkan. Malah boleh dikatakan semua usul akan diterima atau
ditolak sebulat suara tanpa perlu bercerita panjang,’’ katanya kepada
Utusan Malaysia.
Menurut pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu, biarpun
keputusan pilihan raya kali ini agak mengecewakan BN namun ia
menandakan demokrasi yang sihat di mana check and balance di Parlimen
dapat dilihat secara berkesan.
Perkembangan itu, katanya, akan menuntut kerajaan supaya lebih
berhati-hati setiap kali membentangkan usul baik berupa undang-undang
mahupun belanjawan yang semestinya melibatkan duit rakyat.
Menurut Sham Rahayu, ini bukan bermakna kerajaan selama ini tidak
berhati-hati ketika membentangkan usul, tetapi dengan adanya suara
pembangkang yang lebih besar maka setiap unsur diteliti supaya mereka
tidak dipersoalkan kelak.
Semestinya, perbahasan mengenai sesuatu usul juga akan menjadi lebih
hangat bersama hujah-hujah yang pastinya membuka minda sebelum ia dapat
diluluskan mengikut rasional.
Sesungguhnya keputusan pilihan raya menunjukkan sikap pengundi
terhadap parti yang memerintah dan parti pembangkang. Jika pembangkang
yang menjadi pilihan, tidak semestinya mereka menawarkan yang lebih
baik.
Sebaliknya mungkin ada yang kurang memuaskan hati di pihak parti kerajaan sehingga melahirkan undi senyap dan undi protes.
Seperkara lagi yang menarik perhatian ialah keputusan pilihan raya
kali ini bakal menyaksikan wakil kaum Cina dan India dalam Kabinet yang
pastinya berkurangan.
Walhal sebelum berlangsungnya pilihan raya, kaum-kaum di Malaysia
telah diingatkan supaya mengundi BN untuk memastikan mereka mempunyai
wakil dalam Kabinet sekali gus segala masalah mereka dapat dibawa
kepada perhatian kerajaan tanpa memerlukan orang ketiga.
Namun perkembangan terbaru menunjukkan kaum Cina dan India rela
tidak diwakili di Kabinet asalkan suara mereka berkumandang di Dewan
Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri.
Jika itu keputusan mereka, maka kerajaan BN mungkin boleh memikirkan
untuk memperuntukkan kuota menteri, timbalan menteri atau setiausaha
Parlimen berketurunan India dan Cina mengikut sokongan yang diberi
kepada BN.
Jika kurang sokongan atau undi mereka kepada BN, maka kecillah kuota
untuk mereka, jangan ditambah kerana ia akan mewujudkan suasana selesa
yang pasti memberi kesan lebih parah pada pilihan raya umum akan datang.
Apa pun, tanpa kemenangan majoriti dua per tiga, BN membentuk sebuah
kerajaan yang dipilih menerusi amalan demokrasi berparlimen seperti
yang termaktub dalam Perkara 113 hingga Perkara 120 berserta Jadual
ke-13 Perlembagaan Persekutuan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan tugas seperti yang
diperuntukkan dalam Perkara 113 hingga Perkara 120 Perlembagaan. Segala
urusan berkaitan pilihan raya seperti yang dituntut oleh Perlembagaan
telah dipenuhi.
Selepas selesai pilihan raya, sebuah jemaah menteri akan ditubuhkan
seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43 dan Jadual Keenam
Perlembagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah pun
menghadap Yang di- Pertuan Agong bagi memaklumkan BN telah memperoleh
kemenangan mudah.
Dalam proses tersebut, Perdana Menteri akan memohon untuk menubuhkan
kerajaan baru dan mengemukakan cadangan keanggotaan Kabinet kepada Yang
di-Pertuan Agong apabila pemilihan jemaah menteri selesai diadakan.
Mengikut Perlembagaan, Perdana Menteri sekali lagi akan menghadap
Yang di-Pertuan Agong untuk mengemukakan senarai Kabinet Kerajaan Pusat
selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin BN.
Ia akan disusuli dengan istiadat pengurniaan surat cara pelantikan
dan mengangkat sumpah jawatan, taat setia serta sumpah menyimpan rahsia
oleh anggota Kabinet dan timbalan-timbalan menteri di hadapan Yang
di-Pertuan Agong akan berlangsung di Istana Negara.
Sementara itu, fungsi kerajaan sementara yang mengambil alih
pentadbiran negara sebaik Parlimen dibubarkan akan diteruskan walaupun
selepas berlangsungnya pilihan raya sehingga Kabinet baru dibentuk.
Justeru setiap keputusan yang dibuat oleh kerajaan sementara sebelum
Kabinet dibentuk seperti menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya
memanggil mesyuarat Dewan Rakyat adalah sah di sisi Perlembagaan.
-ehsan utusan malaysia,isnin,10 march 2008-